Tuesday, October 26, 2010

Perlawanan Persahabatan : Sonic Youth FC vs PPR FC

SYFC akan menentang PPR FC dalam perlawanan persahabatan petang ini di Padang IPG KKB. Semua penyokong dijemput hadir bagi memberi sokongan kepada pasukan SYFC.

Monday, October 25, 2010

FINAL PIALA MALAYSIA 2010

*Credit to Oren Kecik

Komplot Ke Stadium Bukit Jalil

Pemain-pemain SYFC bercadang akan berkomplot di Stadium Bukit Jalil Sabtu ini bagi menyokong pasukan Bola Sepak Kelantan yang melangkah ke final menentang Negeri Sembilan dalam merebut kejohanan paling berprestij di Malaysia, iaitu Piala Malaysia.

Wednesday, October 20, 2010

5 Pemain dipanggil menyertai latihan bersama Skuad IPG KKB

Seramai 5 orang pemain SYFC telah tersenarai untuk sesi latihan bersama pasukan IPG Kampus Kota Bharu baru-baru ini. 5 pemain tersebut adalah :

  • Mohd Zaki
  • Mohd Nazrul
  • Mohd Azim
  • Wan Muhammad Hasbi
  • Ismarezza
Mereka juga turut menyertai Kejohanan Bola Sepak Tiga Penjuru yang berlangsung di Padang IPG Kampus Sultan Mizan, Besut, Terenggau. Kejohanan tersebut turut disertai oleh pasukan IPG Kampus Sultan Mizan sebgai tuan rumah dan IPG Kampus Dato' Razali.

Dalam kejohanan tersebut, pasukan IPG Kampus Kota Bharu hanya mampu mencatatkan keputusan seri menentang IPG Kampus Sultan Mizan dan tewas kepada IPG Kampus Dato' Razali. Berikut keputusan penuh perlawanan melibatkan pasukan IPG Kampus Kota Bharu :

  • IPG Kampus Sultan Mizan 0-0 IPG Kampus Kota Bharu
  • IPG Kampus Kota Bharu 0-1 IPG Kampus Dato' Razali

Biarpun gagal mencatatkan kemenangan, jurulatih IPG Kampus Kota Bharu, Encik Wan Din berpuas hati dengan persembahan anak buahnya. " Saya amat berpuas hati dengan persembahan pasukan saya. Sebahagian daripada pasukan kami adalah tenaga muda. Jadi, ini merupakan pendedahan yang baik dalam mematangkan lagi pemain-pemain saya." katanya.

Friday, August 13, 2010

Sonic Youth FC tersungkur di Final

Hajat pasukan SYFC untuk menjadi juara Kejohanan Bola Sepak peringkat IPG Kampus Kota Bharu lebur pada perlawanan akhir setelah tewas melalui sepakan penalti 4-3. Perlawanan akhir ini telah disaksikan hampir 50 orang penyokong yang datang bagi memberi sokongan kepada pasukan masing-masing.

Sebaik sepak mula bermula, pasukan BBC terus melancarkan serangan ke kubu pasukan SYFC. Hasilnya, BBC berjaya membolosi gawang SYFC seawal minit pertama. Kesilapan ini dipercayai berpunca daripada barisan pertahanan yang masih belum bersedia menahan asakan yang tiba-tiba dilakukan oleh pasukan lawan.

Selepas itu, Pasukan SYFC lantas mencari gol penyamaan. Asakan bertubi-tubi dilancarkan ke atas pasukan BBC namun berjaya dipatahkan oleh pertahanan mereka. Menyedari pemain-pemain SYFC memiliki kekuatan dalam larian, mereka telah menggunakan taktik perangkap ofsaid. Hal ini telah merencatkan pergerakan pasukan SYFC untuk memburu gol penyamaan.

Namun, hasil daripada hantaran jauh daripada 'Anip' dan cuba dikejar oleh 'Matyo', dia memperdaya pemain pertahanan BBC dengan membiarkan bola itu melantun lalu disambung oleh pemain sayap kiri, 'Sebi' yang terus membawa bola ke sebelah kiri gol pasukan BBC lalu melepaskan sepakan padu yang sama sekali menewaskan penjaga gol mereka.

Gol penyamaan tersebut telah menaikkan semangat pemain-pemain SYFC. Pada separuh masa pertama, perlawanan jelas dikuasai oleh SYFC. Bersambung babak kedua, BBC cuba mengatur gerakan-gerakan berbahaya kedalam kawasan SYFC. Tetapi, barisan pertahanan yang deketuai oleh 'Reza' mudah menyerap asakan tersebut. Selain itu, pertahanan kanan SYFC, 'Rauf' dilihat sangat kental mengawal pergerakan penyerang berbahaya BBC, 'Ali' daripada membawa masuk bola ke dalam kawasannya.

Gol kedua yang dicari-cari oleh SYFC hampir menjelma apabila sepakan 'Jerol' sedikit melepasi palang gol pasukan lawan. Pasukan SYFC terus melancarkan serangan ke atas BBC melalui gerakan solo 'Matyo' setelah berjaya melepasi pertahanan lawan hampir membuahkan hasil namun tidak berjaya untuk mengelecek penjaga gol BBC. SYFC berjaya mendapatkan sepakan percuma sejarak 30 meter setelah pemain BBC melakukan bentesan keras kepada 'Jerol'. Namun, sepakan yang diambil oleh 'Anip' tepat kepada penjaga gol BBC.

15 minit sebelum tamat permainan, pasukan SYFC dilihat bermain corak bertahan bagi mengelakkan gawang gol mereka dibolosi buat kali kedua. Bunyamin Omar SYFC, iaitu 'Ajim' bertungkus lumus memainkan peranannya dalam mengeluarkan bola dari kawasan berbahaya.

SYFC membuat pertukaran pertama mengeluarkan 'Jerol' dengan memasukkan 'Rajo' setelah melihat bahagian tengah kurang berfungsi. Akhirnya, perlawanan tepaksa ditentukan melalui sepakan penalti selepas waktu sebenar permainan telah tamat.

Sepakan pertama 'Reza'    - Tak Masuk
Sepakan Kedua 'Matyo'    - Masuk
Sepakan ketiga 'Jakie'       - Masuk
Sepakan Keempat 'Hanif  - Tak Masuk
Sepakan Kelima 'Sebi'      - Tak Masuk
Sepakan Keenam 'Rauf'    - Masuk
Sepakan Ketujuh 'Ajim'    - Tak Masuk

Sepakan penalti terpakasa ditentukan melalui lambungan duit syiling selepas kedudukan terikat 3-3. Akhirnya, sepakan penalti yang diambil oleh BBC telah berjaya dijaringkan dan perlawanan tamat dengan BBC memenanginya 4-3.

Setelah menemuramah pengurus pasukan SYFC, 'Kong', beliau menyatakan bahawa pasukannya kurang bernasib baik untuk kejohanan kali ini. " Pasukan saya kurang bernasib baik hari ini, pemain-pemain saya sudah beraksi dengan baik. Dan saya yakin bahawa pasukan ini akan mampu pergi jauh untuk masa hadapan kerana dibarisi pemain-pemain yang bagus." katanya.

Sekalung ucapan tahniah untuk semua pemain yang bersungguh-sungguh sehingga berjaya membawa pasukan SYFC ke peringkat akhir untuk kejohanan kali ini. Tahniah!

Koleksi Gambar :

 Sonic Youth FC







Sonic Youth 'A' Juara Futsal Mania Edisi Ke-2

Baru-baru ini, pasukan SYFC telah menghantar 2 wakil bagi pasukan mereka iaitu SYFC 'A' dan SYFC 'B'. Mereka telah diletakkan dalam kumpulan yang berbeza -beza bagi saingan ini. Bagi pasukan SYFC 'A', pasukan mereka berada dalam kumpulan A manakala pasukan SYFC 'B' berada dalam kumpulan C. Dibarisi para pemain 'star', SYFC 'A' tidak menghadapi sebarang masalah untuk melayakkan diri ke peringkat suku akhir.

Dalam peringkat kumpulan, SYFC 'A' berjaya memenangi kesemua perlawanan dengan mudah. Berbeza dengan pasukan SYFC 'B', pasukan ini dilihat terpaksa menarik diri daripada kejohanan akibat kekurangan pemain. Namun, dengan semangat kesukanan yag dimiliki, SYDFC 'B' telah menyenaraikan beberapa muka baru yang dilihat mampu memberikan aksi yang cemerlang kepada pasukan mereka.

Pada aksi pertama dan kedua peringkat kumpulan, SYFC 'B' hanya mampu seri dan ini telah menyukarkan pasukan mereka untuk melayakkan diri ke peringkat suku akhir. Namun, dengan sokongan daripada penyokong, SYFC 'B' berjaya mencatatkan kemenangan pada aksi terakhir peringkat kumpulan dan telah meletakkan mereka sebagai naib juara kumpulan C.

Pada peringkat suku akhir, Pasukan SYFC 'A' sekali lagi menunjukkan aksi membanggakan apabila mudah menewaskan lawan. Pasukan SYFC 'B' pula sekali lagi diundi bertemu dengan pasukan yang sama pada peringkat kumpulan mereka keputusan sebelum ini berkesudahan terikat 1-1. Tetapi, kali ini pasukan SYFC 'B' tidak mensia-siakan peluang untuk membalas dendam apabila menang melalui sepakan penalti setelah tamat tempoh perlawanan, kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Saat-saat yang tidak diingini oleh kedua-dua pasukan SYFC akhirnya terjadi. Mereka terpaksa bertemu sesama sendiri pada peringkat separuh akhir. Seperti tidak mahu mengalah, pasukan SYFC 'B' tetap memberikan tentangan sengit kepada 'abang' mereka. Namun, mereka tewas dengan jaringan dua berbalas kosong.

Dalam penentuan tempat ke-3 dan ke-4, SYFC berjaya menewaskan pasukan Pendekar Penyu dengan keputusan 3-2. Pada aksi final pula, SYFC 'A' menghadapi pasukan jemputan dari KTD. Dalam pertemuan akhir ini, pasukan SYFC berjaya menjinakkan lawan dengan jaringan 3-1 seterusnya dinobatkan JUARA Futsal Mania edisi ke-2. Kejayaan pada kali ini merupakan kejuaraan mereka buat kali ketiga setelah menjadi juara pada kejohanan Futsal Anjakan Paradikma Edisi 1 dan 2.

Syabas diucapkan kepada kedua-dua wakil SYFC!

Senarai pemain Sonic Youth FC 'A'

1. Ismarezza (C)
2. Raja Kamal
3. Mohamad Nazrul
4. Mohamad Zaki
5. Tengku Farid
6. Azrul Zailan
7. Mohamad Hanif

Senarai pemain Sonic Youth FC 'B'

1. Wan Muhammad Hasbi (C)
2. Izzat Firdaus
3. Muhammad Akram
4. Mohamad Azim
5. Mohamad Sabqi
6. Muhamad Azreen

Koleksi gambar -



Sonic Youth FC 'B'

Sonic Youth FC 'A'


Friday, August 6, 2010

Sonic Youth FC berentap di Final

Pasukan Sonic Youth FC berjaya melayakkan diri ke final setelah menewaskan pasukan PPR 2-0 petang kelmarin. Dalam perlawanan tersebut, SYFC tepaksa turun tanpa tonggak utama pasukan mereka iaitu 'Jaki' yang telah menerima kad merah ketika perlawanan terakhir peringkat kumpulan tempoh hari.

Namun, dengan semangat juang yang tinggi, pemain-pemain SYFC berjaya menunjukkan aksi yang menakjubkan. Penguasan pasukan SYFC dalam perlawanan ini berjaya ditunjukkan melalui percubaan pemain tengah mereka, iaitu 'Rajo' menggegar palang gol setelah berlaku aksi kelam kabut dalam kotak penalti pasukan PPRFC.

Pasukan PPRFC turut berpeluang menjaringkan gol namun berjaya dipatahkan oleh barisan pertahanan lawan. Begitu juga dengan pasukan SYFC yang melancarkan serangan ke kubu pasukan PPRFC namun penyudah yang tumpul telah menggagalkan pasukan mereka untuk menjaringkan gol. Babak pertama berkesudahan terikat 0-0.

Sebaik babak kedua bermula, pasukan SYFC seperti mendapat semangat baru apabila mengasak bertubi-tubi ke arah kubu lawan. Dan hasilnya, satu lorongan cantik oleh 'Jerol' dan gerakan solo 'Anip' di sebelah kanan gol berjaya disudahkannya dengan sempurna seterusnya meletakkan SYFC di hadapan dengan 1-0.

Tertekan dengan gol tersebut, pasukan PPR bagai hilang punca apabila segala pergerakan berjaya dipatahkan oleh pemain lawan. Dan pasukan SYFC sekali lagi berjaya membolosi gawang PRRFC dan kali ini melalui pemain sayap kiri mereka, 'Sebi' yang menanduk mudah bola menewaskan penjaga gol PPRFC setelah sepakan 'Jerol' terkena palang gol hasil gerakan solonya dari tengah padang.

Pasukan SYFC cuba memperlahankan tempo perlawanan dengan bertahan setelah mendahului 2-0. Pasukan PPRFC pula baru tersedar dari lamunan dan mula mengatur beberapa gerakan berbahaya ke arah gawang pasukan SYFC. Dan, gol yang dinanti-nanti hampir menjelma namun sepakan dari luar kotak penalti oleh pemain PPRFC  berjaya dikuis oleh benteng terakhir SYFC, 'Payed'.

PPRFC sekali lagi mendapat peluang keemasan setelah mendapat sepakan percuma sejarak 30 meter. Namun, sepakan yang diambil sedikit tersasar ke sebelah kiri gol. Dan wisel penamat yang ditunggu-tunggu oleh pemain-pemain SYFC telah ditiup oleh pengadil perlawanan dan telah membawa mereka ke perlawanan akhir. Perlawanan akhir dijadualkan berlangsung pada hari ahad di padang IPG Kampus Kota Bharu. Pasukan SYFC akan bertemu dengan pasukan BBC FC, pasukan yang pernah mereka menang pada peringkat kumpulan.

Friday, July 30, 2010

Kedudukan Terkini kumpulan A

Thursday, July 29, 2010

Sonic Youth FC tewas

Perlawanan antara pasukan Sonic Youth FC dengan Pendekar Penyu berakhir dengan keputusan Pendekar Penyu FC menang dengan jaringan 1-0. Pada awal babak pertama, kedua-dua pasukan saling merancang dan mengatur serangan namun belum mampu menjaringkan gol. Namun, pada pertengahan babak pertama, PPFC berjaya mendahului melalui percubaan daripada pemain PPFC, 'Macha' yang gagal ditangkap kemas oleh penjaga gol SYFC, 'Payed' lalu 'Amir' mudah menolak masuk bola ke dalam gawang SYFC.

Tersentak dengan gol tersebut, pasukan SYFC lantas mengatur serangan bertubi-tubi ke arah gawang pasukan lawan. Pada minit-minit terakhir babak pertama, SYFC memiliki satu peluang untuk menjaringkan gol melalui gerakan solo 'Matyo' namun sepakannya sedikit tersasar ke arah kiri gol.

Bagi memperkemaskan bahagian pertahanan yang dilihat agak goyah, SYFC membuat pertukaran pertama dengan memasukkan 'Beki'  menggantikan 'Ijad' sebaik babak kedua berlangsung. Pemain-pemain SYFC menggandakan asakan ke arah kubu lawan namun hampa dengan penyudah yang agak tumpul. Peluang sekali lagi hadir melalui percubaan dari luar kotak penalti oleh 'Zul' namun sepakannya tepat ke arah penjaga gol PPFC.

SSFC turut berpeluang menjaringkan gol kedua melalui serangan 'counter attack' apabila tindakan 'Rajo' menanduk bagi mengeluarkan bola hampir-hampir menjunam ke dalam gawang pasukannya sendiri namun berjaya diselamatkan oleh 'Payed'.

SYFC sekali lagi mempunyai peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan apabila pemain pertahanan PPFC gagal mengeluarkan bola dengan baik berjaya dirampas oleh 'Sebi' dan terus menolak bola kepada 'Jaki' yang dilihat berseorangan di luar kotak penalti. Namun, percubaannya melepasi palang gol pasukan PPFC.

Lima minit sebelum tamat perlawanan, pasukan SYFC terpaksa bermain dengan 10 orang setelah 'Jaki' dibuang padang apabila dia menerima kad kuning kedua akibat menolak bola dengan menggunakan tangan. Biarpun SYFC tewas dalam perlawanan ini, pasukan mereka masih berpeluang untuk melayakkan diri ke peringkat separuh akhir kerana memiliki jumlah jaringan yang lebih banyak berbanding pasukan lain. Bagi pasukan PPFC pula, mereka perlu mencatat kemenangan bertemu pasukan Yakuza FC sabtu ini bagi melayakkan diri ke peringkat separuh akhir.

Preview Perlawanan Sonic Youth FC VS Pendekar Penyu FC

Pendahulu kumpulan A ketika ini, Sonic Youth FC akan bertemu pasukan Pendekar Penyu FC hari ini dimana merupakan perlawanan terakhir untuk pasukan SYFC bagi saingan kumpulan A. Bagi pasukan PPFC, perlawanan petang ini adalah perlawanan kedua bagi pasukan mereka.

Berbekalkan semangat kemenangan ketika mengatasi pasukan BBC FC tempoh hari, pasukan SYFC hanya memerlukan keputusan seri untuk melayakkan diri ke separuh akhir yang akan berlangsung minggu depan.Manakala bagi pasukan PPFC pula, mereka perlu mencatatkan kemenangan untuk perlawanan petang ini bagi meneruskan saingan ke peringkat separuh akhir.

Pasukan SYFC dijangka bakal melakukan sedikit perubahan taktikal bagi memastikan pemain simpanan mereka sentiasa cergas 100% dan bersedia untuk menunjukkan aksi yang cemerlang dalam setiap perlawanan. Dibarisi empat pemain simpanan, tetapi pasukan SYFC hanya mampu menggunakan 3 pemain sahaja kerana 'Lemi' masih belum pulih dari kecederaan. Namun, dengan kehadiran semula penjaga gawang no.1 mereka, 'Payed' dilihat mampu menarik nafas lega kerana penjaga gol no.2, 'Ajim' dapat kembali beraksi di posisi asalnya sebagai pertahanan kiri biarpun dia telah mempamerkan aksi bertenaga ketika bertemu pasukan BBC FC baru-baru ini. 

Bagi pemain sayap kiri SYFC pula, 'Sebi' mengalami masalah kesihatan dan mungkin tidak akan masuk sebagai kesebelasan utama dan akan digantikan dengan 'Zul'.

Antara pemain-pemain yang perlu diberi perhatian bagi pasukan PPFC ialah pemain tengah mereka iaitu 'Macha' kerana dia merupakan perancang utama dalam melancarkan serangan-serangan berbahaya. Selain itu, pertahanan kental mereka, 'Pak Li' juga pasti akan mengawasi barisan pertahanan dengan bermati-matian bagi mengelakkan gawang mereka dibocori.

Bagi sesiapa yang berkesempatan, anda dijemput ke padang bagi memberi sokongan kepada pasukan SYFC.