Wednesday, May 2, 2012

IPGKKB FC 2-1 ALUMNI MAAHAD TAHFIZ PULAI CHONDONG

Setelah berehat hampir 3 minggu, pasukan IPGKKB kembali mengatur perlawanan persahabatan dengan menentang pasukan dari Pulai Chondong, Alumni Maahad Tahfiz Pulai Chondong. Perlawanan ini merupakan perlawanan terakhir bagi IPGKKB sebelum memberi ruang kepada para pemain untuk membuat persediaan bagi menghadapi ujian akhir semester.

Biarpun tanpa beberapa pemain utama yang mengalami kecederaan, pasukan IPGKKB tetap memiliki pemain-pemain pelapis yang bersedia untuk mengambil alih setiap posisi yang ditinggalkan.

Perlawanan pada petang tadi berlangsung dengan begitu menarik kerana kedua-dua pasukan saling mengatur serangan yang berbahaya ke arah pintu gol sehingga memaksa penjaga gol bekerja keras mengawal gawang mereka daripada dibolosi.

Gol pembukaan perlawanan berjaya dijaringkan oleh pemain pertahanan IPGKKB FC, Azim yang membawa bola dari sebelah kanan dan melakukan rembatan leret yang terkena tiang sebelum menerjah jaring. Gol ini ternyata memberi semangat kepada pasukan tuan rumah dan berjaya melakukan beberapa percubaan namun gagal menemui sasaran.

Bersambung babak kedua, pasukan dari Alumni Maahad Tahfiz Pulai Chondong cuba mengatur strategi bagi mencari gol penyamaan. Akhirnya, mereka berjaya menyamakan kedudukan hasil sepakan penalti setelah penyerang mereka dikasari di dalam kotak penalti.

Selepas itu, kedua-dua saling melakukan asakan untuk mencari gol kemenangan. Bagi menajamkan jentera serangan, pasukan IPGKKB mengeluarkan Merul dan menggantikannya dengan Emi. Pertukaran ini ternyata tidak sia-sia kerana dia berjaya mengucar-kacir benteng pertahanan pasukan lawan.

Akhirnya, hasil dari gerakan Emi yang berjaya mengelecek 3 pemain lawan, dia telah ditolak di dalam kotak penalti. Pengadil dengan tidak teragak-agak untuk memberikan sepakan penalti kepada pasukan IPGKKB. Zaki akhirnya menyempurnakan sepakan tesebut dan memastikan kemenangan 2-1 buat pasukan mereka.