Monday, October 1, 2012

Super Saiya United Muncul Juara

Pasukan Super Saiya United muncul juara kejohanan bola sepak Karnival Sukan IPG Kota Bharu. Perlawanan akhir tersebut telah menemukan pasukan dari batch semester 2 itu dengan pasukan Sonic Youth FC.

Sebelum ini, kedua-dua pasukan sudah bertemu pada peringkat kumpulan dimana kemenangan berpihak kepada pasukan Sonic Youth FC dengan keputusan 5-1. Rentetan daripada kekalahan itu, pasukan Super Saiya United sudah pasti ingin membalas dendam seterusnya menjadi juara baru bagi kejohanan yang diadakan setiap tahun itu.

Pemain Super Saiya cuba melepasi pertahanan Sonic Youth


Pada perlawanan tersebut, Super Saiya United telah menewaskan Sonic Youth FC 1-0 hasil jaringan Khairuddin. Gol tersebut hasil gerakan solo Khai yang membawa bola dari sebelah kiri dan melepaskan sepakan deras menjangkaui penjaga gol Sonic Youth FC, Munzir.

Sementara itu, bagi tempat ketiga dan keempat, perlawanan ini telah menemukan pasukan BBM FC dengan The Italy FC. Perlawanan tersebut berlangsung begitu sengit dan kemenangan akhirnya berpihak kepada pasukan The Italy FC dengan keputusan 2-1.  Gol-gol pasukan The Italy FC telah dijaringkan oleh Syawal dan Amirul manakala gol tunggal BBM FC disumbangkan oleh Fairuz.

Secara keseluruhannya, kejohanan ini telah berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah. Tahniah diucapkan kepada semua pihak pengurusan dan semua pasukan yang bertanding kerana memberikan kerjasama yang baik sepanjang kejohanan ini berlangsung.

Johan - Super Saiya United
Naib Johan - Sonic Youth FC
Ke-3 - The Italy FC
Ke-4 - BBM FC

Thursday, September 27, 2012

FINAL BOLA SEPAK KARNIVAL SUKAN IPG KAMPUS KOTA BHARU 2012


Semua guru pelatih dijemput hadir untuk memeriahkan perlawanan ini. Support Our Local Football!

Wednesday, May 2, 2012

IPGKKB FC 2-1 ALUMNI MAAHAD TAHFIZ PULAI CHONDONG

Setelah berehat hampir 3 minggu, pasukan IPGKKB kembali mengatur perlawanan persahabatan dengan menentang pasukan dari Pulai Chondong, Alumni Maahad Tahfiz Pulai Chondong. Perlawanan ini merupakan perlawanan terakhir bagi IPGKKB sebelum memberi ruang kepada para pemain untuk membuat persediaan bagi menghadapi ujian akhir semester.

Biarpun tanpa beberapa pemain utama yang mengalami kecederaan, pasukan IPGKKB tetap memiliki pemain-pemain pelapis yang bersedia untuk mengambil alih setiap posisi yang ditinggalkan.

Perlawanan pada petang tadi berlangsung dengan begitu menarik kerana kedua-dua pasukan saling mengatur serangan yang berbahaya ke arah pintu gol sehingga memaksa penjaga gol bekerja keras mengawal gawang mereka daripada dibolosi.

Gol pembukaan perlawanan berjaya dijaringkan oleh pemain pertahanan IPGKKB FC, Azim yang membawa bola dari sebelah kanan dan melakukan rembatan leret yang terkena tiang sebelum menerjah jaring. Gol ini ternyata memberi semangat kepada pasukan tuan rumah dan berjaya melakukan beberapa percubaan namun gagal menemui sasaran.

Bersambung babak kedua, pasukan dari Alumni Maahad Tahfiz Pulai Chondong cuba mengatur strategi bagi mencari gol penyamaan. Akhirnya, mereka berjaya menyamakan kedudukan hasil sepakan penalti setelah penyerang mereka dikasari di dalam kotak penalti.

Selepas itu, kedua-dua saling melakukan asakan untuk mencari gol kemenangan. Bagi menajamkan jentera serangan, pasukan IPGKKB mengeluarkan Merul dan menggantikannya dengan Emi. Pertukaran ini ternyata tidak sia-sia kerana dia berjaya mengucar-kacir benteng pertahanan pasukan lawan.

Akhirnya, hasil dari gerakan Emi yang berjaya mengelecek 3 pemain lawan, dia telah ditolak di dalam kotak penalti. Pengadil dengan tidak teragak-agak untuk memberikan sepakan penalti kepada pasukan IPGKKB. Zaki akhirnya menyempurnakan sepakan tesebut dan memastikan kemenangan 2-1 buat pasukan mereka.

Wednesday, April 25, 2012

KEJOHANAN BOLA SEPAK RUMAH SUKAN IPG KOTA BHARU 2012

Kejohanan Bola Sepak Rumah Sukan IPG Kota Bharu merupakan sambungan daripada KOT 2012 yang telah melabuhkan tirai bulan lepas. Kejohanan ini diadakan bertujuan memeriahkan lagi sukan bola sepak di IPG Kota Bharu selain mencungkil bakat-bakat baru untuk mewakil IPG ke peringkat yang lebih tinggi.

Berdasarkan rekod, rumah Bintang telah berjaya mengungguli gelaran juara keseluruhan KOT 2012. Begitu juga dengan pasukan bola sepak rumah sukan Bintang yang tidak kurang hebatnya setakat ini apabila berjaya menerajui liga dengan mengumpul 4 mata hasil 1 kemenangan dan 1 seri, Kinabalu ditangga kedua berkongsi mata dengan rumah sukan Ledang 3 mata manakala rumah sukan Tahan mengumpul 1 mata.

Pada hari pertama kejohanan yang berlangsung pada 22 April 2012, pasukan rumah sukan Ledang dijadual menentang pasukan Bintang sementara pasukan Kinabalu menentang pasukan Tahan. Keputusan akhir perlawanan mencatatkan pasukan Bintang dan Kinabalu masing-masing memperoleh kemenangan 3-2 ke atas pasukan lawan.

Pada hari kedua kejohanan, pasukan Bintang telah menentang pasukan Tahan manakala pasukan Ledang menentang pasukan Kinabalu. Pada perlawanan tersebut, pasukan Tahan hanya mampu seri 2-2 dan keputusan ini telah menyebabkan pasukan mereka berada ditangga tercorot dengan mengumpul  1 mata. Sementara itu, pasukan Ledang pula berjaya mencatat kemenangan 3-2 ke atas pasukan Kinabalu. Kemenangan tersebut sangat penting untuk memastikan pasukan mereka terus bersaing dalam perebutan slot ke perlawanan akhir yang dijadualkan pada hari ahad minggu depan.

Perlawanan terakhir liga akan berlangsung pada petang esok di padang IPG Kota Bharu iaitu diantara pasukan Bintang menentang Kinabalu dan pasukan Tahan menentang pasukan Ledang. Diharapkan para penyokong dapat hadir bagi memeriahkan lagi Kejohanan Bola Sepak Rumah Sukan IPG Kota Bharu 2012.