Friday, August 6, 2010

Sonic Youth FC berentap di Final

Pasukan Sonic Youth FC berjaya melayakkan diri ke final setelah menewaskan pasukan PPR 2-0 petang kelmarin. Dalam perlawanan tersebut, SYFC tepaksa turun tanpa tonggak utama pasukan mereka iaitu 'Jaki' yang telah menerima kad merah ketika perlawanan terakhir peringkat kumpulan tempoh hari.

Namun, dengan semangat juang yang tinggi, pemain-pemain SYFC berjaya menunjukkan aksi yang menakjubkan. Penguasan pasukan SYFC dalam perlawanan ini berjaya ditunjukkan melalui percubaan pemain tengah mereka, iaitu 'Rajo' menggegar palang gol setelah berlaku aksi kelam kabut dalam kotak penalti pasukan PPRFC.

Pasukan PPRFC turut berpeluang menjaringkan gol namun berjaya dipatahkan oleh barisan pertahanan lawan. Begitu juga dengan pasukan SYFC yang melancarkan serangan ke kubu pasukan PPRFC namun penyudah yang tumpul telah menggagalkan pasukan mereka untuk menjaringkan gol. Babak pertama berkesudahan terikat 0-0.

Sebaik babak kedua bermula, pasukan SYFC seperti mendapat semangat baru apabila mengasak bertubi-tubi ke arah kubu lawan. Dan hasilnya, satu lorongan cantik oleh 'Jerol' dan gerakan solo 'Anip' di sebelah kanan gol berjaya disudahkannya dengan sempurna seterusnya meletakkan SYFC di hadapan dengan 1-0.

Tertekan dengan gol tersebut, pasukan PPR bagai hilang punca apabila segala pergerakan berjaya dipatahkan oleh pemain lawan. Dan pasukan SYFC sekali lagi berjaya membolosi gawang PRRFC dan kali ini melalui pemain sayap kiri mereka, 'Sebi' yang menanduk mudah bola menewaskan penjaga gol PPRFC setelah sepakan 'Jerol' terkena palang gol hasil gerakan solonya dari tengah padang.

Pasukan SYFC cuba memperlahankan tempo perlawanan dengan bertahan setelah mendahului 2-0. Pasukan PPRFC pula baru tersedar dari lamunan dan mula mengatur beberapa gerakan berbahaya ke arah gawang pasukan SYFC. Dan, gol yang dinanti-nanti hampir menjelma namun sepakan dari luar kotak penalti oleh pemain PPRFC  berjaya dikuis oleh benteng terakhir SYFC, 'Payed'.

PPRFC sekali lagi mendapat peluang keemasan setelah mendapat sepakan percuma sejarak 30 meter. Namun, sepakan yang diambil sedikit tersasar ke sebelah kiri gol. Dan wisel penamat yang ditunggu-tunggu oleh pemain-pemain SYFC telah ditiup oleh pengadil perlawanan dan telah membawa mereka ke perlawanan akhir. Perlawanan akhir dijadualkan berlangsung pada hari ahad di padang IPG Kampus Kota Bharu. Pasukan SYFC akan bertemu dengan pasukan BBC FC, pasukan yang pernah mereka menang pada peringkat kumpulan.

No comments:

Post a Comment