Monday, October 1, 2012

Super Saiya United Muncul Juara

Pasukan Super Saiya United muncul juara kejohanan bola sepak Karnival Sukan IPG Kota Bharu. Perlawanan akhir tersebut telah menemukan pasukan dari batch semester 2 itu dengan pasukan Sonic Youth FC.

Sebelum ini, kedua-dua pasukan sudah bertemu pada peringkat kumpulan dimana kemenangan berpihak kepada pasukan Sonic Youth FC dengan keputusan 5-1. Rentetan daripada kekalahan itu, pasukan Super Saiya United sudah pasti ingin membalas dendam seterusnya menjadi juara baru bagi kejohanan yang diadakan setiap tahun itu.

Pemain Super Saiya cuba melepasi pertahanan Sonic Youth


Pada perlawanan tersebut, Super Saiya United telah menewaskan Sonic Youth FC 1-0 hasil jaringan Khairuddin. Gol tersebut hasil gerakan solo Khai yang membawa bola dari sebelah kiri dan melepaskan sepakan deras menjangkaui penjaga gol Sonic Youth FC, Munzir.

Sementara itu, bagi tempat ketiga dan keempat, perlawanan ini telah menemukan pasukan BBM FC dengan The Italy FC. Perlawanan tersebut berlangsung begitu sengit dan kemenangan akhirnya berpihak kepada pasukan The Italy FC dengan keputusan 2-1.  Gol-gol pasukan The Italy FC telah dijaringkan oleh Syawal dan Amirul manakala gol tunggal BBM FC disumbangkan oleh Fairuz.

Secara keseluruhannya, kejohanan ini telah berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah. Tahniah diucapkan kepada semua pihak pengurusan dan semua pasukan yang bertanding kerana memberikan kerjasama yang baik sepanjang kejohanan ini berlangsung.

Johan - Super Saiya United
Naib Johan - Sonic Youth FC
Ke-3 - The Italy FC
Ke-4 - BBM FC

Thursday, September 27, 2012

FINAL BOLA SEPAK KARNIVAL SUKAN IPG KAMPUS KOTA BHARU 2012


Semua guru pelatih dijemput hadir untuk memeriahkan perlawanan ini. Support Our Local Football!

Wednesday, May 2, 2012

IPGKKB FC 2-1 ALUMNI MAAHAD TAHFIZ PULAI CHONDONG

Setelah berehat hampir 3 minggu, pasukan IPGKKB kembali mengatur perlawanan persahabatan dengan menentang pasukan dari Pulai Chondong, Alumni Maahad Tahfiz Pulai Chondong. Perlawanan ini merupakan perlawanan terakhir bagi IPGKKB sebelum memberi ruang kepada para pemain untuk membuat persediaan bagi menghadapi ujian akhir semester.

Biarpun tanpa beberapa pemain utama yang mengalami kecederaan, pasukan IPGKKB tetap memiliki pemain-pemain pelapis yang bersedia untuk mengambil alih setiap posisi yang ditinggalkan.

Perlawanan pada petang tadi berlangsung dengan begitu menarik kerana kedua-dua pasukan saling mengatur serangan yang berbahaya ke arah pintu gol sehingga memaksa penjaga gol bekerja keras mengawal gawang mereka daripada dibolosi.

Gol pembukaan perlawanan berjaya dijaringkan oleh pemain pertahanan IPGKKB FC, Azim yang membawa bola dari sebelah kanan dan melakukan rembatan leret yang terkena tiang sebelum menerjah jaring. Gol ini ternyata memberi semangat kepada pasukan tuan rumah dan berjaya melakukan beberapa percubaan namun gagal menemui sasaran.

Bersambung babak kedua, pasukan dari Alumni Maahad Tahfiz Pulai Chondong cuba mengatur strategi bagi mencari gol penyamaan. Akhirnya, mereka berjaya menyamakan kedudukan hasil sepakan penalti setelah penyerang mereka dikasari di dalam kotak penalti.

Selepas itu, kedua-dua saling melakukan asakan untuk mencari gol kemenangan. Bagi menajamkan jentera serangan, pasukan IPGKKB mengeluarkan Merul dan menggantikannya dengan Emi. Pertukaran ini ternyata tidak sia-sia kerana dia berjaya mengucar-kacir benteng pertahanan pasukan lawan.

Akhirnya, hasil dari gerakan Emi yang berjaya mengelecek 3 pemain lawan, dia telah ditolak di dalam kotak penalti. Pengadil dengan tidak teragak-agak untuk memberikan sepakan penalti kepada pasukan IPGKKB. Zaki akhirnya menyempurnakan sepakan tesebut dan memastikan kemenangan 2-1 buat pasukan mereka.

Wednesday, April 25, 2012

KEJOHANAN BOLA SEPAK RUMAH SUKAN IPG KOTA BHARU 2012

Kejohanan Bola Sepak Rumah Sukan IPG Kota Bharu merupakan sambungan daripada KOT 2012 yang telah melabuhkan tirai bulan lepas. Kejohanan ini diadakan bertujuan memeriahkan lagi sukan bola sepak di IPG Kota Bharu selain mencungkil bakat-bakat baru untuk mewakil IPG ke peringkat yang lebih tinggi.

Berdasarkan rekod, rumah Bintang telah berjaya mengungguli gelaran juara keseluruhan KOT 2012. Begitu juga dengan pasukan bola sepak rumah sukan Bintang yang tidak kurang hebatnya setakat ini apabila berjaya menerajui liga dengan mengumpul 4 mata hasil 1 kemenangan dan 1 seri, Kinabalu ditangga kedua berkongsi mata dengan rumah sukan Ledang 3 mata manakala rumah sukan Tahan mengumpul 1 mata.

Pada hari pertama kejohanan yang berlangsung pada 22 April 2012, pasukan rumah sukan Ledang dijadual menentang pasukan Bintang sementara pasukan Kinabalu menentang pasukan Tahan. Keputusan akhir perlawanan mencatatkan pasukan Bintang dan Kinabalu masing-masing memperoleh kemenangan 3-2 ke atas pasukan lawan.

Pada hari kedua kejohanan, pasukan Bintang telah menentang pasukan Tahan manakala pasukan Ledang menentang pasukan Kinabalu. Pada perlawanan tersebut, pasukan Tahan hanya mampu seri 2-2 dan keputusan ini telah menyebabkan pasukan mereka berada ditangga tercorot dengan mengumpul  1 mata. Sementara itu, pasukan Ledang pula berjaya mencatat kemenangan 3-2 ke atas pasukan Kinabalu. Kemenangan tersebut sangat penting untuk memastikan pasukan mereka terus bersaing dalam perebutan slot ke perlawanan akhir yang dijadualkan pada hari ahad minggu depan.

Perlawanan terakhir liga akan berlangsung pada petang esok di padang IPG Kota Bharu iaitu diantara pasukan Bintang menentang Kinabalu dan pasukan Tahan menentang pasukan Ledang. Diharapkan para penyokong dapat hadir bagi memeriahkan lagi Kejohanan Bola Sepak Rumah Sukan IPG Kota Bharu 2012.


Friday, April 6, 2012

Sonic Youth FC 2-2 IPGKKB FC


IPGKKB FC

Perlawanan persahabatan pasukan IPGKKB diteruskan lagi dengan menentang Juara Karnival Sukan IPG Kampus KOta Bharu 2011, Sonic Youth FC baru-baru ini. Perlawanan yang sengit ini telah berkesudahan dengan keputusan seri 2-2.

Kali ini, pasukan IPGKKB terpaksa beraksi tanpa beberapa pemain utama kerana 8 orang pemain IPGKKB FC adalah pemain daripada pasukan Sonic Youth FC. Walau bagaimanapun, barisan pemain IPGKKB yang lain masih mampu untuk mengambil alih posisi yang ditinggalkan mereka.

Pada awal babak pertama, pasukan Sonic Youth dilihat banyak melakukan gerakan berbahaya ke arah pintu gol pasukan IPGKKB namun gagal memecah kebuntuan. Sebaliknya, pasukan IPGKKB membuka tirai jaringan melalui sentuhan Dilah yang berjaya melepasi jangkauan penjaga gol Sonic Youth FC, Tengku Farid.

Antara aksi kedua-dua pasukan

Pasukan Sonic Youth akhirnya berjaya menyamakan kedudukan setelah penjaga gol IPGKKB FC gagal menangkap kemas sepakan Hanif Khair. Kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Aksi pada separuh masa kedua bertambah menarik apabila kedua-dua pasukan mengatur gerakan-gerakan menarik bagi memburu gol. Dilah akhirnya berjaya menghukum barisan petahanan Sonic Youth FC apabila berjaya melepasi dua pemain dan mudah menewaskan penjaga gol Sonic Youth FC.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Sonic Youth FC lantas melakukan pertukaran memasukkan Lemi bagi memantapkan lagi jentera serangan mereka. Ternyata strategi tersebut membuahkan hasil apabila Helmi berjaya menyambar tampanan penjaga gol IPGKKB FC hasil percubaan Hafiz dari luar kotak penalti. Keputusan berkesudahan seri 2-2.

Walaupun mencatat keputusan seri, pasukan IPGKKB berjaya menunjukkan perkembangan positif kerana biarpun tanpa pemain utama, barisan pemain simpanan dapat memberikan aksi yang cemerlang bersama pasukan. Oleh itu, para pemain diharapkan lebih bersemangat untuk turun berlatih setiap petang bagi meningkatkan prestasi masing-masing.

Kapten pasukan, Rezza menyeru kepada semua rakan sepasukannya supaya lebih menjiwai bola sepak untuk mendapat kejayaan di peringkat tertinggi. "kenali bola sepak dgn menjiwainya..bukan kenali bola sepak dgn melihatnya..insyallah kejyaan di peringkat tertinggi akan dicapai" katanya.

SONIC YOUTH FC

 p/s : untuk melihat koleksi gambar perlawanan petang tadi boleh buka fanpage rasmi pasukan IPGKKB FC


Monday, April 2, 2012

SONIC YOUTH FC VS IPGKKB FC

Tarikh   : 3 April 2012 (Selasa)
Masa    : 5.00 Petang
Tempat : Padang IPG Kampus Kota Bharu

Semua penyokong dijemput hadir bagi memberi sokongan kepada pemain dan pasukan IPGKKB FC dan Sonic Youth FC.

DEMI IPG KITA!

Wednesday, March 28, 2012

IPGKKB FC 3-2 KTD FC


Rentak kemenangan berjaya diteruskan pasukan IPGKKB FC apabila berjaya membenam KTD FC 3-2 petang tadi. Pada separuh masa pertama, kedua-dua pasukan dilihat menunjukkan permainan yang seimbang apabila mereka saling melakukan asakan namun gagal menemui sasaran. Dilah akhirnya berjaya memecah kebuntuan apabila menerima hantaran silang dari Emi dan meletakkan pasukan IPGKKB dihadapan sehingga tamat separuh masa pertama.

Aksi separuh masa kedua semakin rancak apabila kedua-dua pasukan sering membuat pertukaran pemain bagi meningkatkan lagi kekuatan pasukan mereka. Pasukan IPGKKB semakin melebarkan kedudukan setelah Merul dijatuhkan di dalam kotak penalti dan sepakan tersebut berjaya disempurnakan olehnya sendiri.

Tersentak dengan jaringan tersebut, pasukan KTD kembali mengatur serangan bertubi-tubi dan akhirnya mereka berjaya menjaringkan 2 gol untuk menyamakan kedudukan menjadi 2-2. Namun, belum sempat untuk pasukan KTD menarik nafas lega, Merul berjaya menjaringkan gol ketiga untuk pasukan IPGKKB sekaligus meletakkan pasukannya kembali di depan. Kedudukan 3-2 kekal sehingga ke wisel penamat.

Walaupun berjaya mencatat kemenangan, keseluruhan pemain masih belum berpuas hati dengan aksi yang ditunjukkan pada perlawanan petang tadi. Kapten pasukan IPGKKB, Rezza berharap semua pemain dapat memberikan komitmen 100% dalam latihan serta meningkatkan lagi prestasi bagi merebut kesebelasan utama dalam pasukan.

p/s : untuk melihat koleksi gambar perlawanan petang tadi boleh buka fanpage rasmi pasukan IPGKKB FC

IPGKKB FC VS KTD FC

Tarikh   : 28 Mac 2012 (Rabu)
Masa    : 5.00 Petang
Tempat : Padang IPG Kampus Kota Bharu

Semua penyokong dijemput hadir bagi memberi sokongan kepada pemain dan pasukan IPGKKB FC.

DEMI IPG KITA!

Monday, March 26, 2012

PEMAIN KEMBALI TURUN BERLATIH

Setelah lebih 2 minggu bercuti, pasukan IPGKKB kembali turun menjalani latihan bermula semalam. Namun, terdapat beberapa pemain yang tidak dapat turun berlatih bersama kerana terpaksa memberi komitmen terhadap praktikum di sekolah.

Walau bagaimanapun, pemain-pemain lain yang tidak terlibat dengan mana-mana aktiviti tetap bersemangat menjalani latihan setiap petang. Latihan pasukan IPGKKB kali ini lebih menumpukan kepada latihan meningkatkan kembali stamina pemain-pemain setelah masing-masing sudah lama tidak menjalani latihan.

Selain itu, pasukan IPGKKB dijangka akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan Kolej Teknologi Darul Naim di padang IPG pada hari rabu ini. Mereka juga sedang mengatur beberapa lagi perlawanan persahabatan antaranya bertemu pasukan ATM Pengkalan Chepa dan perlawanan persahabatan 3 penjuru dengan pasukan dari IPG Terengganu.

Wednesday, March 7, 2012

IPGKKB FC 6-0 PANJI FC



Pasukan IPGKKB FC terus mencatat kemenangan bergaya setelah membelasah pasukan Panji FC 6-0 petang tadi. Biarpun tanpa beberapa pemain utama, IPGKKB FC masih memiliki pemain-pemain yang mampu bermain dengan baik posisi masing-masing.

Separuh masa pertama, IPGKKB FC dilihat berjaya menguasai sepenuhnya permainan dan mengasak bertubi-tubi ke pintu gol pasukan Panji FC namun barisan serangan yang diketuai oleh Dilah gagal menyudahkan peluang yang dimiliki.

Gol pembukaan pasukan IPGKKB FC dihasilkan oleh Dilah selepas berlaku kekalutan dalam kotak penalti. Sebelum tamat separuh masa pertama, Emi Chica berjaya mencatat nama sebagai penjaring gol hasil gerakan solonya dari luar kotak penalti.

Pesta gol pasukan IPGKKB FC bermula selepas pertukaran Matyo yang masuk menggantikan Emi Chica pada pertengahan separuh masa kedua. Matyo berjaya merobek gawang pasukan Panji FC sebanyak 4 kali bagi memastikan kemenangan selesa pasukan IPGKKB FC.


IPGKKB FC VS PANJI FC

Tarikh   : 7 Mac 2012 (Rabu)
Masa    : 5.00 Petang
Tempat : Padang IPG Kampus Kota Bharu

Semua penyokong dijemput hadir bagi memberi sokongan kepada pemain dan pasukan IPGKKB FC.

DEMI IPG KITA!

Tuesday, February 14, 2012

IPGKKB FC 5-0 THE MIX FC

Pasukan IPGKKB FC kembali menemui rentak permainan setelah membelasah pasukan The Mix FC 5-0 petang tadi. Menggunakan formasi 4-3-3, pasukan IPGKKB FC dilihat lebih selesa dan pemain-pemain dapat mengatur permainan dengan begitu baik sekali sehingga beberapa kali dapat mengucar-kacirkan pertahanan lawan.

Gol-gol kemenangan dijaringkan oleh Dilah (2 gol), Raja Maksum, Emi Chica dan Hanif Khair (1 gol).

Secara keseluruhannya, para pemain amat berpuas hati dengan aksi yang ditunjukkan masing-masing. Sebagai langkah memantapkan lagi pasukan, diharapkan para pemain dapat meningkatkan latihan mereka seperti stamina, taktik dan skill serta turun berlatih setiap petang di padang.


Wednesday, February 8, 2012

IPGKKB FC VS PARANG PUTING FC

Tarikh   : 9 Februari 2012 (Khamis)
Masa    : 5.30 Petang
Tempat : Padang IPG Kampus Kota Bharu

Semua penyokong dijemput hadir bagi memberi sokongan kepada pemain dan pasukan IPGKKB FC.

DEMI IPG KITA!

Thursday, February 2, 2012

SESI PEMILIHAN PEMAIN PASUKAN IPG KOTA BHARU

Tarikh     :  5 Februari 2012
Masa      : 4.00 Petang - 6.00 petang
Tempat   : Padang IPG KAMPUS KOTA BHARU
Diharapkan kepada semua yang berminat dapat turun beramai-ramai mempamerkan bakat masing-masing. Pemilihan ini akan dilakukan sendiri oleh jurulatih iaitu En. Wan Mohd Din.
FORZA IPGKKB!

Thursday, January 19, 2012

" Pemain Perlu Tingkatkan Latihan "

Itulah kata-kata kapten pasukan IPG KKB FC, Ismarezza selepas melihat aksi rakan-rakannya ketika perlawanan persahabatan menentang pasukan Orange FC semalam yang berkesudahan IPG KKB menang tipis 1-0.

Perlawanan persahabatan tersebut diadakan bertujuan memperbaiki segala kelemahan serta mencari keserasian diantara pemain kerana beberapa pemain baru telah dipanggil untuk menjalani latihan bersama pasukan.

Selain itu, pasukan IPG KKB FC juga sedang mempersiapkan pasukan mereka sebelum menyertai kejohanan terbesar peringkat IPG iaitu Kejohanan Antara Guru-Guru Malaysia (KAGUM) yang dijangka berlangsung pertengahan tahun ini.

Pasukan IPG KKB FC akan mengadakan beberapa lagi perlawanan persahabatan selepas Tahun Baru Cina bagi menilai prestasi semasa pemain dan sebagai langkah memantapkan lagi pasukan.

Oleh itu, diharapkan para pemain dapat memperbaiki kelemahan masing-masing serta dapat bersama-sama turun berlatih setiap petang di padang IPG.

DEMI IPG KITA!