Thursday, July 29, 2010

Sonic Youth FC tewas

Perlawanan antara pasukan Sonic Youth FC dengan Pendekar Penyu berakhir dengan keputusan Pendekar Penyu FC menang dengan jaringan 1-0. Pada awal babak pertama, kedua-dua pasukan saling merancang dan mengatur serangan namun belum mampu menjaringkan gol. Namun, pada pertengahan babak pertama, PPFC berjaya mendahului melalui percubaan daripada pemain PPFC, 'Macha' yang gagal ditangkap kemas oleh penjaga gol SYFC, 'Payed' lalu 'Amir' mudah menolak masuk bola ke dalam gawang SYFC.

Tersentak dengan gol tersebut, pasukan SYFC lantas mengatur serangan bertubi-tubi ke arah gawang pasukan lawan. Pada minit-minit terakhir babak pertama, SYFC memiliki satu peluang untuk menjaringkan gol melalui gerakan solo 'Matyo' namun sepakannya sedikit tersasar ke arah kiri gol.

Bagi memperkemaskan bahagian pertahanan yang dilihat agak goyah, SYFC membuat pertukaran pertama dengan memasukkan 'Beki'  menggantikan 'Ijad' sebaik babak kedua berlangsung. Pemain-pemain SYFC menggandakan asakan ke arah kubu lawan namun hampa dengan penyudah yang agak tumpul. Peluang sekali lagi hadir melalui percubaan dari luar kotak penalti oleh 'Zul' namun sepakannya tepat ke arah penjaga gol PPFC.

SSFC turut berpeluang menjaringkan gol kedua melalui serangan 'counter attack' apabila tindakan 'Rajo' menanduk bagi mengeluarkan bola hampir-hampir menjunam ke dalam gawang pasukannya sendiri namun berjaya diselamatkan oleh 'Payed'.

SYFC sekali lagi mempunyai peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan apabila pemain pertahanan PPFC gagal mengeluarkan bola dengan baik berjaya dirampas oleh 'Sebi' dan terus menolak bola kepada 'Jaki' yang dilihat berseorangan di luar kotak penalti. Namun, percubaannya melepasi palang gol pasukan PPFC.

Lima minit sebelum tamat perlawanan, pasukan SYFC terpaksa bermain dengan 10 orang setelah 'Jaki' dibuang padang apabila dia menerima kad kuning kedua akibat menolak bola dengan menggunakan tangan. Biarpun SYFC tewas dalam perlawanan ini, pasukan mereka masih berpeluang untuk melayakkan diri ke peringkat separuh akhir kerana memiliki jumlah jaringan yang lebih banyak berbanding pasukan lain. Bagi pasukan PPFC pula, mereka perlu mencatat kemenangan bertemu pasukan Yakuza FC sabtu ini bagi melayakkan diri ke peringkat separuh akhir.

No comments:

Post a Comment