Friday, July 30, 2010

Kedudukan Terkini kumpulan A

Thursday, July 29, 2010

Sonic Youth FC tewas

Perlawanan antara pasukan Sonic Youth FC dengan Pendekar Penyu berakhir dengan keputusan Pendekar Penyu FC menang dengan jaringan 1-0. Pada awal babak pertama, kedua-dua pasukan saling merancang dan mengatur serangan namun belum mampu menjaringkan gol. Namun, pada pertengahan babak pertama, PPFC berjaya mendahului melalui percubaan daripada pemain PPFC, 'Macha' yang gagal ditangkap kemas oleh penjaga gol SYFC, 'Payed' lalu 'Amir' mudah menolak masuk bola ke dalam gawang SYFC.

Tersentak dengan gol tersebut, pasukan SYFC lantas mengatur serangan bertubi-tubi ke arah gawang pasukan lawan. Pada minit-minit terakhir babak pertama, SYFC memiliki satu peluang untuk menjaringkan gol melalui gerakan solo 'Matyo' namun sepakannya sedikit tersasar ke arah kiri gol.

Bagi memperkemaskan bahagian pertahanan yang dilihat agak goyah, SYFC membuat pertukaran pertama dengan memasukkan 'Beki'  menggantikan 'Ijad' sebaik babak kedua berlangsung. Pemain-pemain SYFC menggandakan asakan ke arah kubu lawan namun hampa dengan penyudah yang agak tumpul. Peluang sekali lagi hadir melalui percubaan dari luar kotak penalti oleh 'Zul' namun sepakannya tepat ke arah penjaga gol PPFC.

SSFC turut berpeluang menjaringkan gol kedua melalui serangan 'counter attack' apabila tindakan 'Rajo' menanduk bagi mengeluarkan bola hampir-hampir menjunam ke dalam gawang pasukannya sendiri namun berjaya diselamatkan oleh 'Payed'.

SYFC sekali lagi mempunyai peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan apabila pemain pertahanan PPFC gagal mengeluarkan bola dengan baik berjaya dirampas oleh 'Sebi' dan terus menolak bola kepada 'Jaki' yang dilihat berseorangan di luar kotak penalti. Namun, percubaannya melepasi palang gol pasukan PPFC.

Lima minit sebelum tamat perlawanan, pasukan SYFC terpaksa bermain dengan 10 orang setelah 'Jaki' dibuang padang apabila dia menerima kad kuning kedua akibat menolak bola dengan menggunakan tangan. Biarpun SYFC tewas dalam perlawanan ini, pasukan mereka masih berpeluang untuk melayakkan diri ke peringkat separuh akhir kerana memiliki jumlah jaringan yang lebih banyak berbanding pasukan lain. Bagi pasukan PPFC pula, mereka perlu mencatat kemenangan bertemu pasukan Yakuza FC sabtu ini bagi melayakkan diri ke peringkat separuh akhir.

Preview Perlawanan Sonic Youth FC VS Pendekar Penyu FC

Pendahulu kumpulan A ketika ini, Sonic Youth FC akan bertemu pasukan Pendekar Penyu FC hari ini dimana merupakan perlawanan terakhir untuk pasukan SYFC bagi saingan kumpulan A. Bagi pasukan PPFC, perlawanan petang ini adalah perlawanan kedua bagi pasukan mereka.

Berbekalkan semangat kemenangan ketika mengatasi pasukan BBC FC tempoh hari, pasukan SYFC hanya memerlukan keputusan seri untuk melayakkan diri ke separuh akhir yang akan berlangsung minggu depan.Manakala bagi pasukan PPFC pula, mereka perlu mencatatkan kemenangan untuk perlawanan petang ini bagi meneruskan saingan ke peringkat separuh akhir.

Pasukan SYFC dijangka bakal melakukan sedikit perubahan taktikal bagi memastikan pemain simpanan mereka sentiasa cergas 100% dan bersedia untuk menunjukkan aksi yang cemerlang dalam setiap perlawanan. Dibarisi empat pemain simpanan, tetapi pasukan SYFC hanya mampu menggunakan 3 pemain sahaja kerana 'Lemi' masih belum pulih dari kecederaan. Namun, dengan kehadiran semula penjaga gawang no.1 mereka, 'Payed' dilihat mampu menarik nafas lega kerana penjaga gol no.2, 'Ajim' dapat kembali beraksi di posisi asalnya sebagai pertahanan kiri biarpun dia telah mempamerkan aksi bertenaga ketika bertemu pasukan BBC FC baru-baru ini. 

Bagi pemain sayap kiri SYFC pula, 'Sebi' mengalami masalah kesihatan dan mungkin tidak akan masuk sebagai kesebelasan utama dan akan digantikan dengan 'Zul'.

Antara pemain-pemain yang perlu diberi perhatian bagi pasukan PPFC ialah pemain tengah mereka iaitu 'Macha' kerana dia merupakan perancang utama dalam melancarkan serangan-serangan berbahaya. Selain itu, pertahanan kental mereka, 'Pak Li' juga pasti akan mengawasi barisan pertahanan dengan bermati-matian bagi mengelakkan gawang mereka dibocori.

Bagi sesiapa yang berkesempatan, anda dijemput ke padang bagi memberi sokongan kepada pasukan SYFC.